Padah kecuaian semasa lahir: Ibu, anak diberi award lebih RM8 juta | berita menarik hari ini. Akhirnya terbela nasib Seorang Ibu Dan anak. Jom baca seterusnya.
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini memberikan award lebih RM8 juta kepada seorang wanita dan anak perempuannya berusia empat tahun yang menderita kerosakan otak tak terpulih kerana kecuaian perubatan semasa kanak-kanak itu dilahirkan di sebuah hospital kerajaan.
Dalam penghakiman yang dikeluarkan pada 17 April tahun ini, Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas kerajaan mengaku terhadap liabiliti untuk kesemua tuntutan plaintif dengan ganti rugi dan kos.
Pada November 2020, wanita itu yang mempunyai sejarah obstetrik berisiko tinggi dan anak perempuannya selaku plaintif telah memfailkan satu saman terhadap kerajaan dan lapan individu terdiri daripada pegawai perubatan dan staf sebagai defendan kerana kecuaian perubatan.
Bagaimanapun, pada 28 Januari 2022, Mahkamah Tinggi merekodkan satu penghakiman persetujuan dengan pengakuan terhadap liabiliti oleh kerajaan dan plaintif menarik balik saman terhadap lain-lain defendan tanpa perintah kos.
Roz Mawar memberikan award kepada kedua-dua plaintif ganti rugi khas RM209,172 dan ganti rugi am RM500,000 kepada plaintif pertama (kanak-kanak) dan RM114,000 kepada ibunya.
“Kedua-dua plaintif diberikan award ganti rugi teruk berjumlah RM350,000. Untuk ganti rugi am masa hadapan, plaintif pertama diberikan award berjumlah RM6,954,156 untuk 40 tahun. Mahkamah ini mendapati ia merupakan jumlah yang munasabah kerana kos purata penjagaannya mencecah RM173,853.90 setahun. Mahkamah juga memerintahkan RM215,177.25 sebagai kos,” katanya.
Dalam penghakimannya, Roz Mawar berkata, ini sememangnya satu pengajaran yang mahal kepada defendan dan jumlah itu tidak dapat memulihkan kecederaan plaintif pertama.
“Dia tidak akan dapat merasai kehidupan normal. Tempias kesakitan dan penderitaan kanak-kanak itu juga dirasakan plaintif kedua dan keseluruhan keluarganya, Jumlah ganti rugi yang diberikan pada mulanya mungkin nampak seperti durian runtuh tetapi menurut perintah mahkamah ini adalah sekadar memastikan sedikit keselesaan dalam meneruskan kehidupannya,” kata beliau.
Menurut Roz Mawar, ini merupakan satu kes tragik dengan plaintif pertama menderita kerosakan otak yang teruk dan tidak dapat dipulihkan semasa kelahirannya pada 17 Mac 2019 di hospital kerajaan dan plaintif kedua yang mempunyai sejarah obstetrik berisiko tinggi yang pada mulanya dirancang untuk menjalani pembedahan Caesar pada 18 Mac 2019 untuk melahirkan plaintif pertama.
“Pada pukul 8 malam 17 Mac 2019, plaintif pertama yang berada di dalam rahim menunjukkan tanda dan simptom degupan jantung yang perlahan daripada biasa. Walaupun mengesaninya, satu keputusan yang lambat dibuat pada pukul 9.20 malam untuk plaintif kedua menjalani pembedahan Caesar kecemasan.
“Walaubagaimanapun, kelewatan tindakan berterusan sehingga plaintif pertama dilahirkan pada 10.14 malam. Semasa dilahirkan didapati plaintif pertama mengalami kerosakan otak akibat kekurangan oksigen sebelum atau sejurus dilahirkan dan kesannya termasuk kerosakan otak yang teruk. Kemurungan yang dialami plaintif kedua juga bertambah teruk.
Anaknya menghidapi ‘Spastic Quadriplegic Cerebral Palsy’ berikutan kecuaian kerana lewat bertindak, Tindakan sepatutnya diambil dengan segera menurut prosedur yang diterima pakai di hospital,” katanya.
Dalam menentukan kuantum award itu, Roz Mawar berkata kedua-dua plaintif kedua dan suaminya merupakan penjaga utama kepada plaintif pertama.
“Selain daripada menjaga plaintif pertama, plaintif kedua dan suaminya juga menjaga anak lelaki mereka berusia sembilan tahun dan anak perempuan berumur tujuh tahun yang menghidap penyakit paru-paru sejak dilahirkan. Suami beliau adalah seorang juruteknik yang tidak lagi mampu bekerja kerana penyakit cakera teranjak.
Plaintif pertama yang kini berusia empat tahun tidak membesar dengan normal dan sukar untuk kembali menjadi normal. Dia memerlukan penjagaan 24 jam kerana dia tidak mampu menguruskan dirinya sendiri. Dia memerlukan bantuan dan penjagaan untuk makan, mandi bahkan untuk membersihkan dirinya seperti mengelap air liur. Kebersihan mulutnya juga perlu dijaga untuk mengelakkan jangkitan.
Plaintif pertama mempunyai otot yang lemah – dia tidak boleh duduk atau berdiri sendiri. Dia tidak dapat berkomunikasi dan tidak menunjukkan sebarang kefahaman terhadap persekitarannya. Menurut plaintif kedua, plaintif pertama juga tidak menangis. Plaintif pertama diberi makan menggunakan tiub,” katanya dalam penghakimannya setebal 29 muka surat itu.
Sementara itu, peguam kedua-dua plaintif Karthi Kanthabalan ketika dihubungi hari ini memgesahkan keputusan itu dan kerajaan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu. – Bernama
Sumber: sinar harian